Tuesday, June 7, 2011

[SAMPEL KARANGAN] Punca-punca Gejala Lumba Haram di Malaysia

BAHASA MALAYSIA KERTAS 1 [BAHAGIAN A]
30 MARKAH


Soalan : 


Punca-punca lumba haram di MalaysiaGejala lumba haram terus berlaku terutama di bandar besar.
Huraikan punca-punca gejala ini terus berlaku.
     Gejala lumba haram atau lebih dikenali dengan istilah mat rempit telah menjadi satu isu yang begitu memeningkan semua pihak. Pihak kerajaan berusaha mengatasi masalah ini dengan memperkenalkan pelbagai tindakan tetapi masih gagal. Begitu juga dengan pihak masyarakat terutamanya ibu bapa yang turut berusaha menghalang anak-anak mereka terjerumus ke lembah hina ini hanya melihat kegagalan sahaja. Media massa dengan keupayaan mereka menyiarkan pelbagai program kesedaran turut menemukan jalan buntu dalam kemelut ini. Oleh itu, punca-punca yang menyebabkan masalah ini timbul harus dikaji secara mendalam untuk memastikan semua langkah yang diambil memang memberi kesan yang positif.

Sebenarnya masalah ini tercetus kerana kegagalan pihak ibu bapa melaksanakan tugas mereka dengan berkesan. Maknanya, ibu bapa tidak berupaya mendidik anak mereka supaya menyedari bahawa lumba haram merupakan aktiviti yang salah di sisi undang-undang. Kegagalan ibu bapa ini mungkin berkaitan dengan ketidakupayaan mereka untuk menjadi ibu bapa atau tidak memahami keperluan emosi anak mereka. Lantaran itu, anak mereka beralih ke arah lumba haram sebagai satu cara untuk memenuhi keperuan emosi mereka sebagai manusia yang perlu disayangi dan difahami perasaannya.

Untuk menyalahkan ibu bapa seratus peratus bukanlah satu jalan penyelesaian yang bijak kerana keadaan dunia yang serba moden terutama era globalisasi ini turut menjadikan masalah lumba haram ini mudah merebak. Penyiaran program barat terutama akiviti lumba haram menimbulkan rasa ingin mencuba di dalam naluri remaja di negara ini. Kehidupan yang serba moden mendedahkan remaja kita dengan pelbagai dugaan nafsu yang sukar untuk ditolak terutama kenikmatan lumba haram. Jelaslah, lumba haram bertambah ekoran bertambah modennya kkehidupan di negara ini terutama di bandar-bandar kosmopolitan.

Selain itu, kegagalan pihak kerajaan turut ketara terutama dalam menyediakan suasana kehidupan yang lebih ceria kepada remaja. Ketiadaan tempat untuk remaja meluangkan masa dengan berkesan turut menjadi faktor penentu merebaknya masalah ini. Begitu juga dengan kegagalan kerajaan untuk menyediakan peluang kerja yang cukup membawa ramai remaja beralih ke arah lumba haram untuk memenuhi masa mereka. Oleh itu, kerajaan turut memikul kesalahan atas munculnya gejala negatif ini.

Sikap masyarakat yang tidak prihatin menjadikan masalah ini berleluasa. Kita tidak menganggap masalah ini masalah sendiri selagi tidak ada ahli keluarga yang terbabit sehingga tidak mahu membuat laporan jika melihat aktiviti umba haram di kawasan mereka. Keadaan ini telah menyebabkan pihak polis sukar untuk menahan mereka yang terbabit dalam aktiviti negatif ini kerana tiadanya kerjasama masyarakat untuk menjadi mata dan telinga pihak berkuasa. Jelaslah, sikap masyarakat yang “bagai pucuk melepaskan duri masing-masing” menjadikan kemelut sosial ini berlanjutan sehingga sukar untuk dikawal sekarang.

Konlusinya, masalah lumba haram harus dibanteras segera menerusi kerjasama semua pihak. Remaja juga harus memiliki jati diri yang kukuh supaya tidak mudah terpedaya untuk menyertai aktiviti lumba haram ini. Mereka harus memikirkan pendidikan, kerjaya dan masa depan mereka daripada memikirkan keseronokan sementara sahaja. Mungkin remaja harus merenung diri mereka sekarang. Apakah yang mereka mahukan dalam hidup ini?

DIKONGSI OLEH : Crayon@papieratuncrayon.blogspot.com

[SAMPEL KARANGAN] Langkah-langkah Menggalakkan Pelancongan Dalaman Negara

BAHASA MALAYSIA SPM KERTAS 1 [BAHAGIAN A]
30 MARKAH


Soalan : 

Langkah-langkah galak pelancongan dalaman negara
Pelancongan dalam negara perlu diberi perhatian oleh semua pihak.
Huraikan langkah-langkah yang boleh dilakukan untuk mengembangkan pelancongan dalam negara ini.
     Industri pelancongan memang merupakan satu industri yang menguntungkan buat negara terutama pelancongan dalaman. Sikap suka melawat tempat-tempat yang menarik di dalam negara seharusnya menjadi satu aktiviti mingguan penduduk di negara ini. Malangnya keadaan ini tidak berlaku jika kita menjadikan berita-berita yang tersiar menerusi media massa sebagai alat ukurannya. Sebenarnya, ada banyak langkah yang boleh diambil untuk menambah minat penduduk negara ini meneroka negara yang indah ini.

Langkah awal ialah destinasi baru pelancongan harus diteroka dan kawasan yang sudah sedia ada dikekalkan popularitinya. Kewujudan lebih banyak destinasi pelancongan menyebabkan penduduk negara ini mempunyai banyak pilihan untuk dilawati. Destinasi yang sedia ada juga harus diketahui oleh semua menerusi program memperkenalkan destinasi pelancongan. Jadi, destinasi yang baru memberi minat kepada masyarakat untuk melancong selain destinasi sedia ada diketahui ramai.

Keengganan masyarakat kita melancong di dalam negara juga dikaitkan dengan ketidakcekapan sistem pengangkutan awam kita. Ada banyak pelancong tempatan yang tidak mempunyai kenderaan sendiri untuk sampai ke destinasi yang sudah dipillih oleh mereka. Jika sistem pengangkutan awam lebih cekap, sistematik, dan menyeluruh terutama antara destinasi ke destinasi seterusnya, sudah pasti jumlah kehadiran pelancong tempatan akan bertambah secara drastik. Jelaslah, sistem pengangkutan awam kita perlu mengalami perubahan yang menyeluruh sebelum menerima kehadiran pelancong tempatan.

Selain itu, pakej pelancongan yang unik harus diperkenalkan kepada masyarakat di negara ini. Sudah pasti terdapat pelbagai cita rasa yang unik untuk dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat di negara ini. Syarikat pelancongan perlu kreatif mencari jalan untuk memenuhi keperluan semua penduduk negara ini. Sesungguhnya, pengenalan pakej pelancongan yang begitu menarik berupaya menarik minat pelbagai lapisan pelancongan tempatan sama ada yang kaya, miskin, muda, tua dan sebagainya.

Malah, kerajaan boleh menjadikan hujung minggu sebagai cuti umum kepada penduduk di negara ini terutama yang bekerja dengan pihak swasta. Tindakan ini menjadikan masa dua hari iaitu sabtu dan ahad sebagai peluang untuk mereka melancong di dalam negara bersama-sama keluarga dengan lebih kerap. Cuti hujung minggu juga memudahkan mereka merancang masa percutian dengan lebih baik. Justeru, keputusan kerajaan mewajibkan cuti hujung minggu untuk pekerja awam dan swasta penting untuk meningkatkan jumlah pelancong dalaman.

Akhir sekali, kempen yang berkesan harus dilaksanakan oleh kerajaan dalam memastikan industri pelancongan dalaman turut mendapat tempat di hati penduduk tempatan. Penyiaran kempen ini perlu berterusan dan tidak hanya tertumpu ketika musim cuti sekolah atau sebagainya. Kewujudan kempen yang efektif dan berterusan memastikan penduduk negara ini sedar dan tahu tempat yang boleh dihabiskan oleh mereka bersama-sama keluarga tersayang. Jelaslah, kempen menjadi senjata terakhir yang berkesan untuk meningkatkan jumlah kehadiran pelancong tempatan di destinasi pelancongan negara ini.

Kesimpulannya, industri pelancongan dalaman negara kita harus diberi nafas baru. Usaha kempen terbaru kerajaan kita dengan memperkenalkan kempen ZOOM telah memberi sedikit impak positif terhadap industri ini. Cuma usaha yang lebih gigih dan meluas peru dilaksanakan segera. 'Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih' menjadi titik tolak kejayaan kita dalam mempromosikan pelancongan kepada penduduk tempatan.

DIKONGSI OLEH : Crayon@papieretuncrayon.blogspot.com

Tuesday, February 22, 2011

[RANGKA KARANGAN] Permainan Tradisional di Malaysia

BAHASA MALAYSIA SPM KERTAS 1 [BAHAGIAN A]
30 MARKAH

Soalan : Lihat gambar di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda berdasarkan gambar tersebut. Panjang huraian anda hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.

PERMAINAN TRADISIONAL DI MALAYSIA


[CONTOH RANGKA JAWAPAN]

Pendahuluan
-Menunjukkan beberapa contoh permainan tradisional di negara kita
-Namakan permainan-permainan tersebut
-Merupakan sebahagian daripada warisan budaya bangsa
-Ditinggalkan oleh nenek moyang kita dan diwarisi sejak zaman berzaman

Isi
-Menjadi sebahagian daripada khazanah budaya bangsa
-menunjukkan ketinggian nilai seni masyarakat silam
-menjadi pencerminan ketinggian peradaban bangsa
-menjadi kebanggaan bersama

-Semakin dilupakan oleh masyarakat hari ini
-terutamanya di kalangan masyarakat kota dan generasi muda
-anggap ketinggalan zaman/kolot
-lagipun banyak sumber hiburan yang lain
-tambahan pula permainan-permainan ini hanya terhad di negeri-negeri tertentu

-Perlu dipertahankan
-satu warisan yang tidak terkira nilainya
-menjadi petanda tentang pencapaian bangsa
-perlu diselamatkan daripada pupus
-perlu diturunkan kepada generasi akan datang
                                                                                                                                                  
-Usaha-usaha serius harus dilakukan untuk menyelamatkan permainan-permainan ini
-wujudkan kelab-kelab permainan tradisional di sekolah-sekolah
-anjurkan pertandingan dan menawarkan hadiah yang lumayan
-anjurkan bengkel membuat dan bermain

Penutup
-Tidak harus dibiarkan berkubur
-Semua pihak harus berganding bahu untuk memelihara warisan ini


DIKONGSI OLEH : Crayon@papieretuncrayon.blogspot.com