Tuesday, June 7, 2011

[SAMPEL KARANGAN] Langkah-langkah Menggalakkan Pelancongan Dalaman Negara

BAHASA MALAYSIA SPM KERTAS 1 [BAHAGIAN A]
30 MARKAH


Soalan : 

Langkah-langkah galak pelancongan dalaman negara
Pelancongan dalam negara perlu diberi perhatian oleh semua pihak.
Huraikan langkah-langkah yang boleh dilakukan untuk mengembangkan pelancongan dalam negara ini.
     Industri pelancongan memang merupakan satu industri yang menguntungkan buat negara terutama pelancongan dalaman. Sikap suka melawat tempat-tempat yang menarik di dalam negara seharusnya menjadi satu aktiviti mingguan penduduk di negara ini. Malangnya keadaan ini tidak berlaku jika kita menjadikan berita-berita yang tersiar menerusi media massa sebagai alat ukurannya. Sebenarnya, ada banyak langkah yang boleh diambil untuk menambah minat penduduk negara ini meneroka negara yang indah ini.

Langkah awal ialah destinasi baru pelancongan harus diteroka dan kawasan yang sudah sedia ada dikekalkan popularitinya. Kewujudan lebih banyak destinasi pelancongan menyebabkan penduduk negara ini mempunyai banyak pilihan untuk dilawati. Destinasi yang sedia ada juga harus diketahui oleh semua menerusi program memperkenalkan destinasi pelancongan. Jadi, destinasi yang baru memberi minat kepada masyarakat untuk melancong selain destinasi sedia ada diketahui ramai.

Keengganan masyarakat kita melancong di dalam negara juga dikaitkan dengan ketidakcekapan sistem pengangkutan awam kita. Ada banyak pelancong tempatan yang tidak mempunyai kenderaan sendiri untuk sampai ke destinasi yang sudah dipillih oleh mereka. Jika sistem pengangkutan awam lebih cekap, sistematik, dan menyeluruh terutama antara destinasi ke destinasi seterusnya, sudah pasti jumlah kehadiran pelancong tempatan akan bertambah secara drastik. Jelaslah, sistem pengangkutan awam kita perlu mengalami perubahan yang menyeluruh sebelum menerima kehadiran pelancong tempatan.

Selain itu, pakej pelancongan yang unik harus diperkenalkan kepada masyarakat di negara ini. Sudah pasti terdapat pelbagai cita rasa yang unik untuk dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat di negara ini. Syarikat pelancongan perlu kreatif mencari jalan untuk memenuhi keperluan semua penduduk negara ini. Sesungguhnya, pengenalan pakej pelancongan yang begitu menarik berupaya menarik minat pelbagai lapisan pelancongan tempatan sama ada yang kaya, miskin, muda, tua dan sebagainya.

Malah, kerajaan boleh menjadikan hujung minggu sebagai cuti umum kepada penduduk di negara ini terutama yang bekerja dengan pihak swasta. Tindakan ini menjadikan masa dua hari iaitu sabtu dan ahad sebagai peluang untuk mereka melancong di dalam negara bersama-sama keluarga dengan lebih kerap. Cuti hujung minggu juga memudahkan mereka merancang masa percutian dengan lebih baik. Justeru, keputusan kerajaan mewajibkan cuti hujung minggu untuk pekerja awam dan swasta penting untuk meningkatkan jumlah pelancong dalaman.

Akhir sekali, kempen yang berkesan harus dilaksanakan oleh kerajaan dalam memastikan industri pelancongan dalaman turut mendapat tempat di hati penduduk tempatan. Penyiaran kempen ini perlu berterusan dan tidak hanya tertumpu ketika musim cuti sekolah atau sebagainya. Kewujudan kempen yang efektif dan berterusan memastikan penduduk negara ini sedar dan tahu tempat yang boleh dihabiskan oleh mereka bersama-sama keluarga tersayang. Jelaslah, kempen menjadi senjata terakhir yang berkesan untuk meningkatkan jumlah kehadiran pelancong tempatan di destinasi pelancongan negara ini.

Kesimpulannya, industri pelancongan dalaman negara kita harus diberi nafas baru. Usaha kempen terbaru kerajaan kita dengan memperkenalkan kempen ZOOM telah memberi sedikit impak positif terhadap industri ini. Cuma usaha yang lebih gigih dan meluas peru dilaksanakan segera. 'Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih' menjadi titik tolak kejayaan kita dalam mempromosikan pelancongan kepada penduduk tempatan.

DIKONGSI OLEH : Crayon@papieretuncrayon.blogspot.com

No comments:

Post a Comment